Qalam Perjalanan


HARI PERTAMA 05 OGOS 2016 (3)
Restoran Nik Ikan Bakar - Cameron Valley
- Pasar Malam Brincang



Ayra Ameera



Nik Ikan Bakar


Angin sejuk dari bukit menyelinap masuk apabila gril beranda dibuka. Pemandangan di luar begitu indah dan syahdu. 4.58 petang, turun dari apartmen. 5.23 petang,  singgah di restoran Nik Ikan Bakar, medan selera perkarangan masjid. Kami duduk di meja 18A. Agak lewat. Bagaimanapun dalam perjalanan, masa makan tak menentu. 6.07 petang, baru terasa kenyang. Berbaloi juga membayar RM84.00.


Peta Cameron Valley
6.12 petang, melintasi Hotel Iris. Seterusnya masuk  bandar Tanah Rata. 6.56 petang, sampai di ladang  Cameron Valley. Terus turun ke ladang melalui tangga kayu. AylaAiz dan Umi menjadi model amatur untuk sesi fotografi. Berlatarkan ladang hijau yang saujana mata memandang. Dilakari senja merah yang kekuning-kuningan. Yang mengindahkan lagi panorama.


Ayla Arissa

Cameron Valley

Waktu ini warna senja begitu indah di celah-celah bukit. Memancarkan cahayanya ke ladang teh yang terbentang luas. Bagaikan hamparan permaidani yang berpetak-petak menuruni lembah-lembah. Dan menyelimuti bukit-bukau hingga ke puncaknya. Burung-burung pula berterbangan meraikan perubahan warna senja.


Hamparan Permaidani

Menyelimuti Bukit-Bukau

Saujana Mata Memandang

7.05 malam, baru bertolak. Awan beransur-ansur gelap. Manakala senja semakin hilang warnanya. Kegelapan pula beransur-ansur mengisi ruang. Menjadikan bukit-bukau  bagaikan siluet sepi.  Sekali-sekala terdengar sayup-sayup suara alam dan bisikan malam bagai meraikan keheningan. Lalu biarkan alam berbicara dan biarkan malam berahsia. 


Di Celah Kehijauan

Menggamit Senja

Alam Berbicara

Pohon-pohon bagaikan penunggu setia di sepanjang jalan. Mengalu-alukan keluarnya segerombolan kelawar  pemburu malam. Demikian, malam semakin berlabuh. Semakin memburu sisa-sisa senja yang semakin hilang warnanya. Manakakla kereta-kereta sudah mula memasang lampu. 


Peta Pasar Malam

Pasar Malam Brinchang

7.14 malam, sampai di bandar Tanah Rata.  Gelap sudah menguasai. Kedai-kedai mula memasang lampu. Waktu ini kenderaan agak berkurangan. 7.19 malam, melintasi papan tanda Iris House Resort. Seterusnya melintasi bangunan Golf Sultan Ahmad dan  Smurf Inn. 7.35 malam, baru sampai di pasar malam Brinchang. Kelihatan bagaikan pesta, orang ramai memenuhi  laluan ke gerai-gerai. Manakala tauke-tauke gerai sibuk menawarkan pelbagai aneka pilihan.


Ayra Ameera

 Pilihan Selera

Walaupun keletihan, Ayla dan Ayra masih bersemangat untuk menjelajahi gerai-gerai. Seboleh-bolehnya Baba dan Ibu cuba mengelak gerai permainan. Kecil-kecil lagi dah rambang mata. Kadang-kadang terpaksa mengalah, apabila Ayla si little dragon mengeluarkan nafas berapinya. Si little hippo, Ayra, lagi dahsyat. Bagai guruh membelah langit, kalau mengamuk.


Pesta Malam


Gerai Ke Gerai

8.33 malam, bertolak dari pasar malam, selepas membeli sedikit juadah untuk dinner.  Singgah sebentar di pasar raya untuk membeli roti dan maggi. 8.50 malam, sampai di Rose Apartment. 10.12 malam, selepas jamak isyak terus masuk tidur. Keletihan.  Esok perjalanan masih panjang. Masih banyak destinasi untuk dijelajahi.

Post a Comment

Powered by Blogger.