Qalam Perjalanan

HARI KE 3: 24 MARCH 2014 (3)
Lembah Owakudini - Gotemba Premium Outlets
(Kelam Bersauh Malam Berlabuh)




"Lembah Neraka"
Lokasi Owakudani


Berat rasa hati nak meninggalkan pesta salji. Walau bagaimanapun kembara perlu diteruskan. Bas kemudiannya membawa kami ke lembah Owakudani. Perjalanan bagaikan mendaki bukit. Daripada jauh kelihatan wap air bagaikan kabus naik perlahan-lahan ke puncak bukit. Seolah-olah keluar dari rekah-rekahan di lereng bukit.

Tenang & Damai
Panorama Indah
Sesyahdu Fujiyama

Kami turun dari bas, dan menjejakkan kaki di lembah Owakudani. Terasa sejuk. Angin dingin dari bukit bagaikan mengalu-alukan kedatangan kami. Suasana di lembah bukit begitu nyaman dan selesa dengan pemandangan yang indah. Di arah yang bertentangan, masih kelihatan Gunung Fuji melatari langit senja.

Kuro-Tamago
"Lembah Mendidih"
Pesta Kuro-Tamago

Owakudani adalah sebuah lembah gunung berapi aktif. Suatu ketika dahulu penduduk tempatan memberi jolokan  "Jigokudani" yang bermaksud “Lembah Neraka”.  Sebaik sahaja kami melangkah kaki di lembah ini, tarikan nafas agak berbeza. Begitu juga bau udaranya. Kelainan ini menjadi tarikan lembah Owakudani. Malah ada rahsia yang perlu diselongkarkan.


Telur Hitam
Khasiat Kuro-Tamago

Owakudani bermaksud "Lembah Mendidih Besar". Sebuah lembah gunung berapi dengan lohong sulfur aktif dan mata air panas. Merupakan destinasi pelancongan yang popular.  Panorama yang indah dengan lereng gunung berapinya. Lebih-lebih lagi tarikan Kuro-tamago atau "telur hitam".


Kami sempat merasa kuro-tamago. Telur yang di rebus dalam kolam air panas di lereng bukit. Telur rebus hitam yang berbau sulfurik ini menjadi makanan tempatan yang istimewa. Orang Jepun mempercayai, iaitu memakan telur kuro-tamago dapat memanjangkan usia. Makan satu dikatakan menambah tujuh tahun  untuk hidup. 

Proses Telur

Panjang Usia

Tapak pelancongan di Owakudani pernah ditutup pada Mei 2015 disebabkan aktiviti gunung berapi. Dibuka semula pada 27 April 2016. Walau bagaimanapun, pelancong yang mengidap asma, bronkitis, penyakit jantung, dan wanita hamil dinasihatkan tidak masuk ke dalam lembah. Aktiviti gunung berapi yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan.


Pengunjung
Stesen Owakudani

Terdapat beberapa laluan mendaki sekitar stesen Owakudani.  Satu laluan mendaki untuk  ke tapak telur mendidih, lebih kurang  15 minit . Mereka yang berada  di tapak ini berpeluang untuk merasai telur hitam yang baru dimasak. Selain itu dapat melihat sendiri proses membuat kuro-tamago.


Lembah Awakudini
Memori Awakudini

Telor direbus  dalam air mata air semulajadi pada 80 C. selama 60 minit. Kemudian dikukus pada 100 C  selama 15 minit dalam bakul keluli.  Yang  menjadikannya istimewa kerana air panas mengandungi sulfur dan besi.  Telur-telur menjadi hitam dan berbau sulfurik. 


Lunch
 Gotemba Kameya
Kedai Souvenir 


Keseronokan kadang-kadang membuat kami tak sedar masa berlalu. Walau apa pun terpaksa mematuhi jadual perjalanan. Seterusnya kami singgah di restoran Gotemba Kameya  untuk lunch. Perut sudah lama bergurindam. Lebih-lebih lagi menu istimewa, udon dan bento sudah menunggu untuk dijamah. Lepas lunch sempat lagi ibu-ibu bershopping di kedai souvenir sebelah restoran. 


Peta Gotemba

Destinasi seterusnya adalah Gotemba Premium Outlets. Pusat membeli-belah paling popular di Jepun. Berpusat di Gotemba City di kaki Gunung Fuji, tidak jauh dari Hakone. Pusat membeli-belah ini mempunyai lebih daripada 200 kedai dengan beberapa restoran, medan selera dan 50 meter roda ferris.


Gotemba Premium Oulets

Kedai-kedai di Gotemba Premium Outlets  adalah kedai-kedai jenama terkenal di peringkat antarabangsa. Kebanyakan menawarkan  fesyen, sukan, makanan, barangan rumah dan elektronik. Termasuk  barangan harian yang mewah. Harga tidak begitu murah, sesuai dengan jenama antarabangsanya. Lepas shopping, kami jamak asyar di musala yang disediakan untuk pelancong-pelancong yang beragama Islam.


Produk Berjenama

Memang tergoda. Rambang di mata terbayang di jiwa. Hinggakan tidak sedar di kaki langit senja perlahan-lahan berlabuh. Keriuhan pusat membeli-belah pula mula diburu keheningan. Menjadikan suasana beransur-ansur tenang dan sepi. Group Poto Travel sudah nampak keletihan. Jalan pun terincut-incut bagaikan kakek 70 tahun.


 Sebalik Jendela Senja

Bas mula bergerak keluar dari Gotemba Premium. Sayo nara Fujiyama, sayo nara! Kami takkan melupai keindahanmu. Takkan melupai kedinginanmu. Bas terus meredah senja, menuruni lereng bukit. Namun Gunung Fuji bagaikan mengekori kami. Kelihatan berlari-lari di sebalik pohon di sepanjang jalan. Bagaikan gadis sunti mengintai dan melambai-lambai di celah pohon-pohon.


Malam Berlabuh

Akhirnya kami sampai di Shinagawa Prince Hotel. Sisa-sisa senja semakin pundar. "Kelam bersauh malam berlabuh".  Kerana agak lewat, kami terus makan malam di restoran halal Sumiyakiyu. Yang memeranjatkan kami, Dr. Mahathir pernah makan di sini. Tertera gambar, catatan dan tandatangannya di papan kenyataan.



Dinner
Dr Mahadir
  Sumiyakiyu

Post a Comment

Powered by Blogger.