Qalam Perjalanan

HARI KELAPAN 14 DISEMBER 2016 (1)
Masjidil Haram - Desa Ja’ranah - Jabal Thur
- Jabal Rahmah 


3.44 dinihari, terbangun. Terlalu awal, lalu tidur semula. 4.39 dinihari, mandi sunat Ihram. Kemudian solat sunat Ihram. Lepas tu bersiap-siap untuk ke masjidil Haram. Seperti biasa duduk dalam saf berhampiran tiang, iaitu laluan ke Al Safa. 5.29 pagi, azan Subuh berkumandang.

5.46 pagi, solat Subuh. Suara Imam begitu merdu, dan tersedu-sedu. Terasa hening dan sayu. Mungkin imam Syeikh Dr Su’ud Syaraim. 6.02 pagi, keluar dari saf tanpa mengikuti solat Jenazah. Lalu mengharungi kesesakan di pintu King Fahd. Hanyut  ke dataran. Lalu dibawa arus jemaah hingga ke hotel.

6.08 pagi, breakfast di tingkat M. Sempat bersama keluarga Adis yang lain. 6.54 pagi, naik lif ke tingkat 10. Masuk bilik 1006 untuk berehat. Dari pagi sampai malam, pergerakan sudah menjadi rutin. Mula-mula rasa tak selesa, lama-lama menjadi biasa.

7.22 pagi, turun semula, dan menunggu di lobi. Tiba-tiba kecoh di luar. Dimaklumkan seorang pejaja jalanan ditangkap oleh penguat kuasa bandaran. Dikejar dan ditangkap, sudah menjadi drama kehidupan penjaja jalanan. Namun mereka tak serik-serik.


Hotel Maqam

Ziarah Luar

7.37 pagi, naik bas nombor satu. Parking agak jauh dari hotel Al Maqam. 16 buah bas telah disediakan untuk ziarah luar. Petugas Rayhar, Uz. Mohd Shaharani memberi beberapa maklumat tentang tempat bersejarah yang akan dilawati.

Dimaklum juga desa Ja’ranah hanya 24 km dari Masjidil Haram. Di sinilah nanti Group SV7, akan bermiqat. Berniat mengerjakan ibadat Umrah. Awal-awal lagi sudah dimaklumkan untuk membawa pakaian Ihram. Jadi masing-masing sudah bersedia.


Laluan Thur

Puncak Thur

Dataran Gersang

Jejak Pejuang

Kelihatan matahari sekali-sekala bersembunyi di balik awan. Namun hilang, apabila bas  masuk terowong. 7.56 pagi, bas berhenti di tepi jalan. Dari jendela bas, kelihatan Jabal Thur  memanjang dan meminggiri dataran gersang. Tiga puncaknya bersambungan dan berdekatan.


Bukit Thur

Lipatan Sejarah

Sejarah Perjuangan

Group SV7 hanya turun untuk bergambar. Menikmati panorama yang luas terbentang. Sekali-sekala terasa angin dari bukit turun membelai dingin. Bagaimanapun tak sempat untuk mendaki, kerana kesuntukan masa. 

Jabal Thur atau dari segi harfiahnya ialah “Bukit Lembu Jantan”. terletak kira-kira 4 km ke arah selatan Masjidil Haram. Tinggi gunung dari aras laut adalah 748 meter. Dari aras bumi tingginya 458 meter.

Mengikut sejarah, gua di puncak bukit ini telah memberi perlindungan kepada Rasullulah SAW dan Sayyidina Abu Bakar. Ketika baginda sedang dalam perjalanan Hijrah ke Madinah.  Orang-orang quraish  mushrikin telah mengejar Rasulullah WAS higga ke bukit.


Merpati

Labah-labah

Bagaimanapun sarang labah-labah dan merpati yang bertelor di depan pintu gua  telah menyelamatkan Rasulullah SAW. Kisah ini tersurat  dalam surah Al Anfal dan surah Taubah.
  
Surah Al Anfal, ayat 30.

Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya, dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.

Surah Al Taubah, ayat 40.

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhamad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, ketika orang-orang (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua. “Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah berserta kita.”

8.04 pagi, meneruskan perjalanan. Melintasi padang Arafah. Tempat berkumpulnya jemaah haji seluruh dunia untuk melaksanakan Wukuf.  8.24 pagi, terus ke Jabal Rahmah. 8.42 pagi, bas berhenti. Kelihatan Jabal Rahmah 70 meter dari dataran. Bagaikan penunggu di pinggir padang  Arafah.


Jabal Rahmah

Dataran Rahmah

Masing-masing turun dari bas. Tak melepaskan peluang. Mencari sudut-sudut fotografi di dataran kaki bukit. Para jemaah hanya diberi masa 25 minit untuk menyelongkari mistri Jabal Rahmah. Lebih-lebih lagi tiang batu yang terpacak di puncak bukit.


Adis famili dan jemaah yang lain berpusu-pusu menaiki 160 anak tangga. Terpaksa bersesak-sesak. Kadang-kadang bertembung dengan para jemaah yang hendak turun. Lebih kurang 15 minit sampai di puncak. Tercungap-cungap. Keletihan.


Tugu Cinta

Lambang Abadi

Bagaimanapun sempat merakam keunikan Jabal Rahmah. Puncaknya menghidangkan panorama yang begitu indah. Begitu mempersonakan. Bukit-bukit batu dan dataran gersang, luas bagaikan saujana mata memandang.

Terdapat tiang batu konkrit putih, selebar 1.8 meter dan setinggi 8 meter.  Yang menjadi monumen sejarah. Lambang cinta antara Adam AS dan Hawa.  Sayangnya ia dicemari dengan catatan-catatan khurafat, yang mengharapkan jodoh pertemuan.  


Panoramik

Catatan Cinta

Diriwayatkan Jabal Rahmah atau Bukit Kasih Sayang adalah tempat pertemuan antara Adam AS dan Hawa setelah terpisah selama 200 tahun. Selepas diturunkan ke bumi kerana melanggar perintah Allah SWT.
 

Pasangan ini telah tertipu oleh pujuk rayu Iblis.  Sehinggakan mereka termakan buah kuldi yang dilarang oleh Allah SWT. Bukan sahaja memakannya, mendekati pun dilarang sama sekali.


Surah Al Baqarah, Ayat 36

Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan keduanya dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman, “Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi ada tempat kediaman di bumi, dan  kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.”

Surah Al A’raf, Ayat 25

Allah berfirman, “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu kamu akan dibangkitkan.”

Malangnya bukit yang bersejarah ini telah dicemarkan dengan berbagai khurafat. Penjaja tempatan pula mengambil kesempatan menjual souvenir. Kononnya menjadi tangkal yang akan mempercepat jodoh pertemuan.


Menghayati

Pertemuan

Kekal Abadi

Terdapat beberapa orang jemaah wanita menghadapkan muka ke tiang batu. Memanjatkan doa dengan diiringi air mata. Semata-mata mengharapkan jodoh. Mengharapkan perkahwinan kekal hingga ke akhir hayat.

Tak sedar masa berlalu. Lebih daripada 25 minit berada di puncak bukit dan di dataran. Akhirnya 9.03 pagi, bas meneruskan perjalanan. Masuk Jalan Arafat. Membuat U turn ke Jalan Al Jawaha. 9.10 pagi, kemudiannya memasuki jalan King Fadh.

Post a Comment

Powered by Blogger.